Khamis, 18 September 2014

-DERITA NABI AYUB-

DERITA NABI AYYUB A.S
Di dalam Al-Quran ada merakamkan kisah penderitaan penyakit yang terpaksa ditanggung oleh Nabi Ayyub. Di dalam Kitab Duratun Nasihin, pada bab kisah kesabaran Nabi Ayyub. Secara ringkasnya, Nabi Ayyub a.s merupakan seorang Nabi Allah yang dikurniakan nikmat kekayaan, kesihatan serta anak pinak. Beliau tidak pernah lupa untuk mensyukuri atas segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.
Dengan izin Allah, kesabaran Nabi Ayyub a.s. diuji apabila Iblis membakar rumah, harta benda dan anak-anak Nabi Ayyub a.s. Iblis belum berpuas hati lantaran melihat ketabahan dan kesabaran Nabi Allah Ayyub. Lalu sekali lagi Nabi Ayyub di uji dengan jangkitan penyakit kulit yang kronik sehinggakan masyarakat di sekeliling merasa jijik melihatnya. Isteri-isterinya meninggalkan beliau kerana tidak mampu lagi menanggung malu dan kesengsaraan hidup. Yang tinggal hanyalah Nabi Ayyub bersama Siti Rahmah salah seorang dari isterinya yang solehah menemaninya walaupun keadan beliau yang serba dhaif. Selama 7 tahun Nabi Ayyub menderita, namun tidak lekang dari mulutnya berzikir memuji Allah SWT. Siti Rahmah juga akhirnya berjaya dihasut oleh iblis seterusnya meninggalkan Nabi Ayyub keseorangan.
Dalam pada itu, bermunajat Nabi Ayub a.s merintih pada Allah SWT sebagaimana firman-Nya :
"(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang". - Surah Al-Anbiya’: 83
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Allah tidak membiarkan Nabi-Nya sepi sendirian. Maka Allah mengabulkan rintihan Nabi Ayub. Allah menyuruhnya agar menghentakkan kaki ke tanah, lalu keluarlah air yang sejuk dingin lalu diminum, dimandikan sebagai penawar. Firman Allah SWT :
“Maka kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah”. - Surah Al-Anbiya’: 84
Dengan izin Allah SWT, Nabi Ayub a.s telah kembali sihat seperti sedia kala, bahkan Allah mengurniakan zuriat lagi ramai, berganda-ganda dari yang hilang dan Allah juga mengembalikan kemewahan kepada Nabi Ayub a.s. sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah.
Cebisan kisah Nabi Ayyub a.s. ini memberi pengajaran kepada kita bahawa  musibah penyakit adalah ujian dari-Nya sebelum Allah mengurniakan rahmat kasih sayang-Nya. Allah SWT ingin menilai kesabaran dan keteguhan iman dan cinta kita kepada-Nya. Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya yang soleh. Percayalah, akan tiba masanya jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak akan terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan